Wednesday, 7 January 2015

Nota-2 'demi, untuk'

Sering kali ketika mengedit, editor akan terjumpa perkataan 'demi' dan 'untuk' yang digabungkan dalam satu ayat.

Contoh:
1. Kita harus bersatu padu demi untuk kestabilan negara. (X)
2. Demi untuk kepentingan bersama, hapuslah segala persengketaan lama. (X)
3. Dia terpaksa terjun ke sungai demi untuk menyelamatkan budak itu. (X)
4. Firdaus menolak cinta Amirah demi untuk menjaga hati tunangnya. (X)

Pembetulan:
 

Contoh1
Kita harus bersatu padu demi kestabilan negara.


Contoh 2
Demi kepentingan bersama, hapuslah segala persengketaan lama.


Contoh 3
Dia terpaksa terjun ke sungai untuk menyelamatkan budak itu.


Contoh 4
Firdaus menolak cinta Amirah untuk menjaga hati tunangnya.


Penerangan
Demi merupakan kata sendi nama yang membawa makna 'tujuan' dan digunakan di hadapan kata nama. Contoh lain: demi masa depan, demi Amirah, demi kejayaan, demi ibu bapa dan sebagainya.

Jika demi untuk digunakan seiring, ini dipanggil lewah dan harus digugurkan salah satunya mengikut frasa nama yang dibina.

_______________________________________________________

Begitu juga dengan perkataan 'hanya' dan 'sahaja' sering dilihat berada di dalam satu ayat.

Contoh:
1. Puan Fatimah hanya mempunyai lima orang anak sahaja. (X)
2. Hanya Ramlah sahaja yang tidak hadir pada hari itu. (X)


Pembetulan:
Contoh 1
Puan Fatimah hanya mempunyai lima orang anak.
@
Puan Fatimah mempunyai lima orang anak sahaja.


Contoh 2
Hanya Ramlah yang tidak hadir pada hari itu.
@
Ramlah sahaja yang tidak hadir pada hari itu.


Penerangan:
Hanya dan sahaja merupakan kata penegas yang tidak boleh hadir dalam satu ayat.

No comments:

Post a Comment